mutakhir

KR1M 2.0 kembali Oktober ini

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PROGRAM Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 akan dilancarkan selewat-lewatnya pertengahan Oktober ini dan dibangunkan dengan lebih menyeluruh berbanding hanya satu KR1M bagi setiap Parlimen, ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, buat masa ini lebih 10 syarikat sudah menunjukkan minat bekerjasama untuk mewujudkan KR1M 2.0.

Katanya, KR1M 2.0 akan menggunakan strategi berbeza, namun masih mengekalkan tumpuan utama untuk meringankan beban rakyat.

“Dari segi produk, sebelum ini KR1M memang menjual produk yang berkualiti namun jenama yang tertera pada pembungkusan produk adalah jenama kita sendiri dan rakyat merasakan produk yang dijual berkualiti rendah.

"Jadi kita fikirkan untuk menggunakan jenama sebenar produk terbabit tetapi membuat sedikit penambahan iaitu meletakkan logo milik KR1M yang secara tidak langsung ia akan dijual dengan harga rendah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDNKK, di Putrajaya, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengarahkan untuk menamatkan kontrak syarikat pengendali KR1M kerana menjual dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding pasaran.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu antara punca rakyat membenci kerajaan, sedangkan formula KR1M ialah menawarkan kualiti produk sama seperti jenama dan kedai lain, tetapi harganya jauh lebih rendah.

Hamzah berkata, beliau tahu ada di antara masyarakat suka melihat program yang dijalankan kerajaan jatuh merudum, tetapi beliau yakin KR1M akan berjaya pada masa akan datang.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 4:30pm
d