mutakhir

'Kenapa perkara sebegini boleh berlaku?'

Oleh Junaidi Ladjana dan Nasrawati Syarifuddin

“SAYA tidak pasti bila kejadian itu kerana gambar bangkai penyu terdampar di pantai itu diberikan oleh kenalan saya, semalam.

“Namun tujuan saya memuat naik gambar itu dalam Facebook (FB) supaya pihak berkaitan ambil tindakan,” kata Fairul Pat Lingham, 43, yang memuat naik gambar bangkai penyu terdampar di pantai di Pulau Bum-Bum, Semporna, sehingga tular di media sosial, semalam.

Fairul yang bekerja sendiri berkata, dia juga sudah serahkan gambar itu kepada kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah supaya mereka dapat mengambil tindakan lebih lanjut.

"Saya beritahu kakitangan JHL, kenapa perkara sebegini boleh berlaku? Kejadian seperti ini sudah berlaku banyak kali di Pulau Bum-Bum.

"Walaupun sudah diambil tindakan, namun kes ini tetap wujud," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Tambah Fairul, dia berharap agar hidupan penyu di Sabah dapat dilindungi dan individu yang melakukan kerja tidak bertanggungjawab itu dapat diberkas dengan segera.

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu selepas pegawainya di Tawau menghubungi penduduk Kampung di Pulau Bum-Bum.

"Berdasarkan maklumat penduduk yang menemui bangkai itu, beberapa penyu hijau ditemui terdampar di pulau berkenaan.

"Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau sudah diarah membuat siasatan lanjut di pulau berkenaan termasuk pergi lokasi sebenar penemuan bangkai haiwan marin itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu,Pegawai Hidupan Liar Tawau, Sailun Aris berkata, pegawainya sudah diarah ke lokasi kejadian dan bertemu dengan penduduk yang menemui bangkai penyu berkenaan.

"Empat anggota JHL Tawau bersama dua anggota Taman Taman Sabah, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Semporna, Pasukan Polis Marin (PPM) dan ahli jawatankuasa Turtle Management Body Semporna.

"Anggota kami sudah berada di Pulau Bum-Bum dan akan ke lokasi kejadian bersama penduduk yang menemui bangkai berkenaan kira-kira 10 minit dari rumahnya menaiki bot laju.

"Jumlah bangkai penyu belum dapat dipastikan lagi kerana pegawai masih dalam siasatan dan kawasan penemuan bangkai tersebut yang begitu jauh.

"Bagaimanapun,pihak kami akan melaporkan secara lebih terperinci selepas siasatan dijalankan berkenaan kes ini," katanya.

Punca kematian haiwan marin terbabit belum dapat dipastikan.

Pada awal 2014, kira-kira 60 bangkai penyu ditemui terapung di perairan Pulau Tiga, Kudat, manakala empat lagi ditemui terapung di Pulau Bum-Bum, Semporna.

Pada Mac 2015, pihak berkuasa menemui 19 bangkai penyu hijau di Pulau Tiga di utara Pulau Balambangan dan Banggi dekat perairan Kudat, dipercayai cuba diseludup secara hidup melalui laut, namun gagal berbuat demikian berikutan kekerapan rondaan pasukan keselamatan.

Berita berkaitan:

'This is bad for all', kata pemilik foto

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 6:16pm
d