mutakhir

Indeks jenayah naik 0.39%

Oleh Rosliza Mohamed

INDEKS jenayah di Kelantan meningkat 0.39 peratus bagi Januari hingga 26 September, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, antara jenayah terbabit adalah kekerasan, samun harta benda dan bunuh.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya terus melaksana pelbagai usaha bagi membanteras kes berkenaan daripada berleluasa.

"Walaupun ada sedikit kenaikan, kita sentiasa berusaha membanteras jenayah dan mengurangkannya seberapa mungkin.

"Namun usaha mengekangkan perlu kerjasama semua pihak dan rakyat khususnya diminta terus menjadi sumber maklumat kepada polis," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, pihaknya menangkap 13,284 orang terbabit jenayah narkotik, tahun ini.

Katanya, tangkapan itu membawa kepada rampasan dadah berjumlah RM6.249 juta.

Terdahulu, beliau menyampaikan surat penghargaan Ketua Polis Negara kepada 50 pegawai dan anggota Kontinjen Kelantan.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 6:33pm
d