mutakhir

Gemar kongsi idea, pengalaman

Oleh Amir Mamat

PENGERUSI Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin, 72, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H pada Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dipilih kerana pembabitannya secara aktif dalam membangunkan aktiviti berbentuk keagamaan, badan beruniform dan kesukarelaan, bukan saja di negeri ini tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Saya sebenarnya gemar berkongsi idea dan pengalaman diperoleh menerusi aktiviti atau program disertai dengan orang ramai. Biarlah idea itu dikongsi agar memberi manfaat kepada orang ramai dan bukan untuk diri saya sahaja.

"Semua ini membuatkan diri saya berasa puas, selain berharap usaha itu (perkongsian idea) berterusan sampai bila-bila," katanya selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah disampaikan Yang di-Pertua negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Jamil, juga aktif dalam dunia penulisan dengan menghasilkan buku seperti Sejarah Perkembangan Islam diterbitkan pada 1992, diikuti Islam Kebenaran dan Keadilan (1993), Melaka Pusat Penyebaran Islam (1993 dan 2004), Dasar Belia Negara Satu Tujuan (1994) dan Laksamana Cheng Ho: Dalam Sejarah Melaka dan Hubungan Diplomatik Dengan Dinasti Ming Di China (2011).

Selain Mohd Jamil, beberapa individu turut menerima anugerah sama mengikut kategori masing-masing antaranya qari muda, Muhammad Daud Omar, 13, (Anugerah Tunas Harapan); qari kebangsaan, Azraie Abdul Hak, 37, (Tokoh Belia); ikon Negaraku 2017, Mohd Sukur Ibrahim, 33, (Tokoh Warga Istimewa); guru al-Quran, Azizah Lee Abdullah (Tokoh Saudara Muslim); Imam Satu Masjid Pulau Sebang, Hashim Idris, 69, (Tokoh Pegawai Syarak); serta penceramah motivasi dan dermawan, Datuk Dr Ihsan Osman, 60, (Tokoh Penggerak Masyarakat).

Selain itu, turut diiktiraf pengusaha produk minuman, Salim Salleh, 60, (Tokoh Usahawan Muslim); bekas guru, Mad Sari Wadian, 77, (Tokoh Perkhidmatan Awam); pendakwah Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik, 66, (Tokoh Ilmuan Islam); aktivis masyarakat, Puan Sri Halijah Aji, 69; (Tokoh Keluarga Bahagia) dan guru al-Quran, Hitam Abu, 83, (Tokoh Ibu Mithali).

Gambar Khairunisah Lokman

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 7:18pm
d