mutakhir

SPNB sedia tawar khidmat nasihat

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SYARIKAT Perumahan Negara Berhad (SPNB) bersedia menawarkan program khidmat nasihat mengenai keselamatan bangunan kepada pusat tahfiz dan pondok di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, tawaran itu bagi membolehkan institusi berkenaan mendapat maklumat tepat mengenai spesifikasi bangunan yang selamat dan mengikut ciri-ciri ditetapkan kerajaan.

"Kita bersedia membantu mereka dan saya akan berbincang mengenai cadangan ini dengan Ahli Lembaga Pengarah terlebih dulu.

"Selepas itu, kita akan memperincikan bagaimana program ini dapat ditawarkan," katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Gotong-Royong Merdeka Negeri Kelantan di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini.

Mohamed Hasnan berkata, ketika ini Jabatan Kerja Raya diberi tanggungjawab untuk memeriksa keselamatan bangunan, namun pihaknya turut mempunyai kakitangan yang profesional dalam bidang berkaitan.

"Dengan kekuatan pasukan kami, maka kita fikir dapat membantu pusat tahfiz yang memerlukan nasihat mengenai konsep bangunan selamat," katanya yang menyifatkan tragedi di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah membuka mata semua pihak mengenai keselamatan di institusi persendirian.

Terdahulu, program gotong-royong itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat pihaknya yang dianjurkan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Turut hadir dalam program itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Timbalannya, Dr Junaidden Mohamad Zain.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 8:06pm
d