mutakhir

Sikap kawalan kendiri

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam : “Setakat ini kita belum mempunyai cadangan seperti itu. Kes penyalahgunaan aplikasi WhatsApp di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Beliau mengulas dakwaan China menyekat aplikasi telefon pintar itu terutama fungsi penghantaran video dan mesej suara sempena perhimpunan Parti Komunis, bulan depan.

Namun, republik itu masih membenarkan operasi aplikasi WeChat yang diketahui mempunyai kekurangan ciri keselamatan dan dioperasikan oleh syarikat China, Tencent di Shenzen.

Menurut Jailani, China berkemungkinan mempunyai alasan tertentu berbuat demikian dan WeChat sememangnya diwujudkan secara dalaman oleh mereka.

“Bagi kita, peraturan atau undang-undang sedia ada di Malaysia ketika ini sudah mencukupi untuk mengawal ketenteraman awam, ketertiban umum dan keselamatan negara.

“Berdasarkan statistik, tiada kes penyalahgunaan WhatsApp direkodkan antara 2013 hingga 2015. Pada 2016 dan tahun ini, hanya ada 25 dan 27 kes.

“Kami mengakui kes berkaitan media sosial termasuk aplikasi itu turut mempunyai kekangan kerana pangkalan datanya berada di luar negara namun kita berusaha sebaik mungkin,” katanya selepas merasmikan Forum Media Kebangsaan: Cabaran Kewartawanan dan Media Dalam Era Industri 4.0 di Hotel Universiti Teknologi MARA, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Jailani meminta semua pengguna WhatsApp lebih berwaspada untuk menyiarkan sebarang berita.

“Kita perlu mempunyai sikap kawalan kendiri dan kesedaran selain langkah penguatkuasaan undang-undang sedia ada oleh kerajaan.

“Pengguna media sosial perlu menggunakan teknologi yang ada dengan berhati-hati dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, media yang peka dan bertanggungjawab tidak akan memberi sebarang liputan kepada kumpulan ekstremis atau pelampau dan kegiatan mereka.

“Media perlu menangani berita palsu dan membetulkan sebarang persepsi negatif selain mesti bertindak dengan bijak,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 5:55am
d