mutakhir

Inovasi taraf dunia

Oleh Shaiffulazhar Misri

Alor Gajah: Sekumpulan pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) membuktikan mereka juga mampu menghasilkan produk berkualiti bertaraf dunia menerusi inovasi Aircond Switching iaitu sistem arahan mengaktifkan atau mematikan peralatan elektrik di premis kediaman atau kilang menggunakan SMS dihantar menggunakan telefon bimbit.

Lebih membanggakan inovasi berkenaan paling menarik perhatian pengunjung yang singgah pada program 3rd Electrical Innovation Day 2017, di Lobi KKMT, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Inovasi berkenaan hasil perkongsian idea pelajar semestar empat Sijil Teknologi Elektrik Muhammad Atiq Nashriq Baharuddin, Mohamad Ridhwan Baharudin dan Muhammad Hafizairie Mohd Zainuri, masing-masing berusia 19 tahun.

Muhammad Atiq berkata, dia bersama rakan mengambil masa dua bulan menyiapkan dan menguji sistem berkenaan bagi memastikan ia mampu berfungsi dengan baik selain menepati piawaian dikehendaki.

“Bukan mudah nak siapkan prototaip kerana sistem ini membabitkan gabungan kepakaran bidang telekomunikasi, pengekodan, elektronik dan elektrik, semua ini perlu diambil kira bagi mendapatkan produk inovasi berkualiti.

“Bagi mengaktifkan (menghidupkan) peralatan elektrik pengguna cuma perlu menghantar kod sudah ditetapkan kepada sistem pada alat Aircond Switching ini menerusi SMS. Dalam tempoh beberapa saat peralatan elektrik seperti lampu boleh diaktifkan atau dimatikan dari jauh. Sistem ini juga boleh digunakan untuk pendawaian elektrik bekalan fasa tiga berkapasiti tinggi yang pada kebiasaannya digunakan di kilang. Sistem ini mesra pengguna boleh kata pemilik boleh kawal peralatan elektrik di rumah mereka walau di mana sekali pun lokasi mereka berada di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui semalam.

Rakannya Muhammad Hafizairie berkata, kod SMS digunakan bagi memberikan arahan kepada sistem Aircond Switching juga boleh diubah mengikut kehendak pengguna terutama bagi yang mementingkan soal keselamatan.

“Kami menggunakan kad sim sebagai medium menghubungkan telefon bimbit dan sistem Aircond Switching dipasang di rumah. Sistem ini mampu membantu menjimatkan kos dan fleksibel kerana pengguna boleh mengatur jadual aktiviti harian mereka mengikut kesesuaian masa.

“Sebelum sampai di rumah mereka sudah boleh aktifkan pendingin hawa atau lampu. Mengikut perancangan kami mahu menaik taraf lagi kemampuan sistem ini supaya lebih mesra pengguna,” katanya.

Sementara itu, pengarah program itu Azlan Muharan berkata, hari inovasi elektrik itu mula dianjurkan sejak tiga semester lalu dengan menerima penyertaan daripada 102 pelajar KKMT.

“Sepanjang program ini kami terima 34 inovasi membabitkan pelbagai produk dihasilkan sendiri oleh pelajar. Setiap projek membabitkan tiga atau empat pelajar yang dipantau oleh pensyarah pembimbing.

“Pelajar memberikan komitmen tinggi dalam menyiapkan projek inovasi masing-masing, kami pilih produk berpotensi untuk dicalonkan ke pertandingan peringkat Zon seterusnya ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 6:52am
d