mutakhir

Dua rakan maut nahas di selekoh

Oleh HM Digital

Maran: Perjalanan pulang dua rakan berakhir tragedi apabila motosikal dinaiki hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terjatuh ke laluan bertentangan dan bertembung kereta Proton Wira di simpang FELDA Ulu Jempol, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa masing-masing berusia 15 tahun iaitu Mohammad Izzuwan Amir Abdul Razak dan Muhammad Kamal Husaini Nor Azman dari FELDA Jengka 3, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hasaan berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian pemandu kereta, Hussin Ahmad, 54, dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka ke rumahnya di FELDA Ulu Jempol manakala pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 itu dari FELDA Ulu Jempol hendak pulang ke rumah mereka di FELDA Jengka 3.

“Ketika tiba di tempat kejadian, Hussin melihat motosikal ditunggang Mohammad Izzuwan Amir dengan laju di laluan bertentangan hilang kawalan lalu terjatuh memasuki laluannya lalu dia terus mengelak ke kiri jalan.

“Mohammad Izzuwan Amir tercampak di tengah jalan manakala Muhammad Kamal Husaini tercampak pada batu kunci kelajuan air yang berada di bahu kiri jalan manakala motosikal dinaiki mereka menggelongsor lalu merempuh bahagian depan kereta Hussin,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mazlan berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Jengka, di sini manakala Hussin tidak mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 7:07am
d