mutakhir

Belum lagi ajal

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal nyaris maut selepas kenderaan mereka bertembung di persimpangan lampu isyarat Kampung Mulong, di sini, awal pagi, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Perodua Myvi berusia 50 tahun gagal mengawal kenderaannya menyebabkan kereta itu terbalik dan terbabas sebelum bergesel dengan penunggang motosikal.

Susulan kejadian, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.36 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Pegawai Bomba Kanan I Zainal Fitri Husain berkata, pasukannya membantu kedua-dua pemilik kenderaan terbabit.

“Dalam kejadian itu, pemandu kereta terbabit tidak cedera manakala penunggang motosikal cedera ringan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta terbabit keluar daripada keretanya yang terbalik dan menyelamatkan diri,” katanya, di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau berkata, pihaknya turut membantu memadam kebakaran sebuah jentera menurap jalan di Tunjung, jam 10.35 malam.

Katanya, ketika pihaknya tiba, jentera terbabit terbakar 20 peratus.

“Menurut pekerja di situ, jentera berkenaan yang digunakan untuk membuang turapan lama di atas jalan secara tiba-tiba terbakar dan sukar dikawal.

“Kedua-dua operasi tamat sepenuhnya jam 4.10 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 7:21am
d