mutakhir

Kecewa tidak dibenarkan ikuti prosiding

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: “Niat kami hanya mahu mendengar dan hadir untuk seluruh prosiding perbicaraan. Tapi nampaknya kami terpaksa ikut perkembangan kes ini berdasarkan laporan media saja,” kata Datuk Nik Azlan Nik Abdul Kadir, 68, salah seorang waris mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang melahirkan kekecewaan apabila tidak dibenarkan mengikuti prosiding pertuduhan terhadap suspek.

Nik Azlan yang juga bapa kepada pelajar tahfiz yang terkorban, Nik Muhammad Ridzuan, 12, berkata, dia akur dengan arahan itu berikutan pendakwaan terhadap suspek dilakukan secara tertutup.

“Sebenarnya, hari ini (semalam) saya dan isteri datang bersama seorang peguam sebagai pemerhati dengan niat untuk mengetahui perincian kes.

“Tapi nak buat macam mana, kes ini membabitkan kes pendakwaan suspek bawah umur (juvana) dan kami dimaklumkan ia dilakukan secara tertutup dan hanya ahli keluarga suspek saja dibenarkan masuk. Jadi saya terima dengan hati terbuka serta akur dengan arahan pihak mahkamah bagi membolehkan prosiding berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Nik Azlan berkata, dia berharap pihak mahkamah dapat memberi sedikit kelonggaran kepada waris mangsa untuk menempatkan wakil bagi mendengar proses perbicaraan yang akan berjalan nanti.

Isterinya, Datin Hartini Abd Gani ketika ditemui berkata, dia memang menunggu untuk mengikuti proses pertuduhan terhadap suspek biarpun sudah reda kehilangan anaknya yang terkorban dalam tragedi itu.

“Terus terang, saya sudah reda terhadap apa yang berlaku cuma kehadiran saya ini bagi mengikuti perkembangan kes.

“Lagipun kes ini membabitkan pelaku juvana dan saya harapkan nanti dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Katanya, kesedihan yang dialaminya masih dirasai sehingga sekarang dan buat masa ini tiada keperluan untuk dia berjumpa dengan keluarga tertuduh.

“Saya tak perlu jumpa keluarga tertuduh. Lagipun mereka juga bukan mahukannya dalam keadaan sekarang kerana masing-masing saling menghormati perasaan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, bapa kepada pelajar tahfiz, Mohd Shahir, 11, yang kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur mengakui akur dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan waris berada dalam kamar bagi mendengar prosiding.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 7:33am
d