mutakhir

Angkara orang dalam

Oleh Mohd Hilmie Hussin

LELAKI ditahan polis pada 2.30 pagi, hari ini, dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk Pejabat Agama Islam Melaka (JAIM), dan mencuri kertas soalan tiga subjek peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).

Suspek, 38, yang juga pegawai awam di pejabat berkenaan ditahan di rumah di Taman Bukit Katil Kenari, Ayer Keroh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada kakitangan JAIM kira-kira 3 petang hari kejadian, 28 September lalu.

"Kita turut merampas pemutar skru yang disyaki digunakan ketika kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga dan plastik lutsinar mengandungi dokumen bertulis Sulit Ujian Penilaian Kelas Kafa," katanya, ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk bangunan dan curi.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 6:44pm
d