mutakhir

Mudah periksa kesihatan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Wakaf Selangor Muamalat (WSM) meneruskan sumbangan dalam sektor kesihatan dengan mewujudkan klinik bergerak keempat untuk kemudahan orang ramai menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

Klinik menerusi kenderaan yang diubah suai itu beroperasi di masjid, pangsapuri, depoh tahanan, dan pusat khidmat masyarakat di beberapa daerah di negeri ini.

Khidmat yang disediakan antaranya pemeriksaan fizikal, tekanan darah, kencing manis dan penglihatan selain khidmat konsultansi.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin ldris Shah berkenan melancarkan klinik bergerak hasil kerjasama dengan KPJ Healthcare Berhad itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama WSM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata, klinik itu membabitkan usaha kerjasama antara pihaknya dengan hospital terpilih.

“Melalui kolaborasi itu, kita menyediakan kenderaan yang menjadi klinik bergerak, manakala pihak hospital menyediakan petugas dan ubat-ubatan.

“Kita sebelum ini sudah menubuhkan tiga klinik berkenaan iaitu dua daripadanya dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Damansara, Selangor dan KPJ Perdana, Kota Bharu, Kelantan, diikuti dengan Hospital Pakar Antarabangsa Beacon, Petaling Jaya.

“Setiap klinik beroperasi mengikut lokasi ditetapkan dan turut pernah memberi rawatan kesihatan pada mangsa banjir,” katanya selepas majlis perasmian klinik itu.

WSM adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang dilancarkan pada 27 September 2012 membabitkan kerjasama antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor.

Ia bertujuan memberi kemudahan kepada pelanggan bank itu dan orang awam untuk berwakaf.

Selain sektor pendidikan dan kesihatan, dana itu disalurkan ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf.

Kata Abdul Rahman, pihaknya setakat ini menyumbang RM8.8 juta dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

“Sumbangan kepada pendidikan termasuk kemudahan bangunan sekolah, van dan alat projektor.

“Manakala, sektor kesihatan pula membabitkan sumbangan klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen dan peralatan perubatan lain.” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 5:24am
d