mutakhir

Lelong dalam WeChat

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Balik Pulau: Geng Jun Gurun yang aktif mencuri motosikal akhirnya tumpas selepas dua ahli mereka ditahan dalam operasi Op Lejang Barat Daya di Bayan Lepas, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi, dua lelaki berusia 17 dan 22 tahun ditahan anggota polis di kawasan Flat Kristal Idaman, Bayan Lepas ketika menunggang motosikal KTM Duke tanpa nombor pendaftaran.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika diperiksa, polis menemui dua alley key yang diubah suai bersama-sama beberapa peralatan lain termasuk pemutar skru dan spanar yang disyaki digunakan untuk curi motosikal.

Beliau berkata, semakan mendapati, motosikal yang ditunggang suspek dilaporkan hilang di Bayan Lepas, 3 September lalu.

Katanya, siasatan mendapati, seorang daripada suspek dikehendaki polis berhubung kes curi motosikal di Mersing, Johor.

“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan enam lagi ahli geng berusia 17 hingga 22 tahun di Pendang dan Gurun, Kedah pada hari sama.

“Polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 yang dipercayai dicuri daripada seorang suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD), di sini, semalam.

Anbalagan berkata, suspek dipercayai bergiat aktif hujung tahun lalu.

Katanya, dengan penahanan suspek, polis membongkar 11 kes curi motosikal di daerah Bayan Lepas, Sungai Nibong, Pasir Gudang dan Alor Setar.

“Hasil siasatan seorang daripada suspek membawa polis ke sebuah kolam di Kampung Paya Serdang, Pendang, Kedah, Selasa lalu dan menemui empat rangka dan komponen motosikal.

“Suspek mendakwa semua motosikal yang dicuri dileraikan sebelum dijual antara RM200 hingga RM2,000.

“Suspek turut dikesan mengiklankan barang yang dicuri dalam WeChat di mana pautan kepada ahli dalam grup Jual Beli Barang-Barang EX5,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 7:11am
d