mutakhir

Empat 'toyol' larikan tabung masjid

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kajang: Empat ‘toyol’ remaja tidak hanya cuba ‘memancing’ wang dari dalam tabung masjid turut bertindak melarikan tabung itu selepas memutuskan rantai besi menggunakan alat pemotong yang dibawa.

Dalam kejadian jam 2 pagi Isnin lalu, kegiatan jenayah suspek yang mencuri wang derma Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, di sini, dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di masjid itu.

Nazir masjid, Mohd Nasri Abdul Hamid berkata, suspek sebelum itu dikesan cuba memancing wang derma di dalam tabung itu menggunakan tali dan pita pelekat, namun gagal berikutan lubang tabung berkenaan dikecilkan.

Menurutnya, suspek yang berang selepas gagal memancing wang dikesan beredar sebelum muncul kembali membawa alat pemotong besi.

Menurutnya, suspek kemudian memotong rantai besi yang mengikat tabung berkenaan pada tiang masjid sebelum melarikan tabung itu menggunakan motosikal.

“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek kerap cuba mencuri duit derma itu.

“Disebabkan itu, pengurusan masjid mengecilkan lubang tabung itu. Tidak sangka mereka melarikan tabung itu yang bakal dibelanjakan untuk pembinaan surau berdekatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 7:23am
d