mutakhir

RM154 juta import cili

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Serdang: Malaysia mengimport lebih 48,000 tan metrik cili setahun dengan anggaran nilai kira-kira RM154 juta yang akan merugikan negara untuk jangka panjang kelak.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, sehubungan itu Jabatan Pertanian bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap cili import.

“Antaranya tahun lalu kita mengedarkan 400,000 beg poli pokok cili dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran cili dalam kalangan usahawan tani tempatan.

“Melalui program ini hasilnya, pengeluaran cili tahun ini meningkat sebanyak 9,832 tan metrik iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book of Records (MBR) dengan catatan rekod Pemetikan Cili Terbanyak Dalam Sehari sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, semalam.

Penyampaian sijil disempurnakan wakil MBR, Siti Hajar Johor sambil disaksikan Timbalan Menteri MOA Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakaria berkata, rekod dicatatkan MBR itu menyaksikan sebanyak 23,764.56 kilogram cili dituai daripada 663,522 pokok cili di 130 lokasi seluruh negara.

“Sehingga kini, jumlah keluasan tanaman cili di Malaysia tahun lalu telah mencapai keluasan 3,381 hektar dan menghasilkan 43,738 tan metrik cili.

“Manakala penggunaan cili pula dianggarkan adalah sebanyak 88,722 tan metrik dan bagi menampung kekurangan tersebut, negara perlu mengimport lebih kurang 48,382 tan cili setahun dengan anggaran nilai RM154 juta,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 4:53am
d