mutakhir

Rapat jurang komunikasi

Oleh HM Digital

Machang: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menganjurkan program Menghubung Menyatu (CTU) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk merapatkan jurang telekomunikasi dalam kalangan masyarakat di kawasan pedalaman.

Ketua Setiausahanya Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, program berkenaan adalah cetusan idea daripada KKMM berikutan masih terdapat kira-kira satu juta penduduk di kawasan pedalaman di negara ini yang tiada akses kepada kemudahan Internet, televisyen mahupun radio.

“Menerusi pendekatan NBOS, agensi di bawah kementerian ini akan berkolaborasi dengan syarikat penyediaan perkhidmatan komunikasi seperti TM (Telekom Malaysia Berhad), Astro, Mytv serta syarikat telekomunikasi bagi mengurangkan jurang antara masyarakat bandar dan kawasan pedalaman,” katanya pada majlis pelancaran program itu di Kampung Joh, di sini, kelmarin.

Program disempurnakan Naib Ketua UMNO Bahagian Ahmad Tarmizi Ismail.

Dalam program berkenaan, seramai 30 keluarga menerima touch points berbentuk barangan keperluan harian, set televisyen (TV) bersama dekoder Njoi daripada Astro serta dekoder Mytv.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua elemen penting diterapkan di dalam program itu iaitu mendigital dan merakyatkan penyampaian perkhidmatan komunikasi bagi mewujudkan masyarakat bermaklumat, terhubung serta meningkatkan taraf hidup penduduk.

“Di bawah pendekatan digital, kerajaan menerusi kementerian akan membangunkan infrastruktur seperti menara telekomunikasi, capaian Internet yang lebih tinggi dan penyiaran digital yang memanfaatkan rakyat.

“Manakala komponen merakyatkan pula membabitkan aspek komunikasi bersemuka dengan penduduk di kawasan pedalaman,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata penganjuran program Menghubung Menyatu itu menjadikan penduduk luar bandar lebih bermaklumat.

“Melalui program itu, masyarakat akan dapat menikmati perkhidmatan dalam talian yang membolehkan mereka mendapat maklumat dengan cepat, berhubung dengan lebih pantas di samping meningkatkan jalinan dan jaringan kerja serta menjana pendapatan.

“Saya berharap penduduk yang mempunyai akses terhad kepada Internet, TV dan radio akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada pelaksanaan program ini,” katanya.

Seorang penerima, Zulkifli Shafie, 52, berkata dia rasa amat terharu dan berterima kasih kepada pihak KKMM kerana memberi nafas baru kepada penduduk dalam mendapatkan talian telekomunikasi.

“Kemudahan ini dapat menyelesaikan segala kesulitan perhubungan yang dialami penduduk sebelum ini, sekali gus merapatkan jurang komunikasi antara masyarakat luar bandar dan bandar,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 5:07am
d