mutakhir

Kes rasuah ke mahkamah meningkat 32.83% [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

SEBANYAK 405 kes sudah dibawa ke mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dituduh dari Ogos 2016 hingga Ogos tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 32.83 peratus.

"Bagi tempoh sama, jumlah sitaan nilai harta yang sudah dilaksanakan adalah RM334.53 juta berbanding hanya RM55.02 juta tahun lalu.

"Selain itu, 910 tangkapan sudah dilakukan dan jumlah ini meningkat 6.04 peratus berbanding tempoh setahun lalu," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 penubuhan BPR/SPRM bertemakan 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah' dan perasmian Kompleks Baharu Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dzulkifli berkata, dari segi tangkapan, 910 individu sudah ditangkap dan jumlah ini meningkat 6.04 peratus berbanding Ogos tahun lalu.

"Sejumlah 6,419 maklumat diterima iaitu peningkatan 2.63 peratus dalam tempoh sama.

"Sementara, jumlah kertas siasatan yang dibuka adalah 952, peningkatan 2.94 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, sejak menerajui SPRM pada 1 Ogos 2016, beliau mendapati seluruh keluarga besar SPRM berkhidmat dengan penuh komitmen, serta memaparkan semangat juang dan kesungguhan kerja yang begitu luar biasa dan penuh dedikasi.

"Kami akan terus mempertingkatkan usaha untuk mencegah dan memastikan penjenayah rasuah ditumpaskan dan diheret ke muka pengadilan.

"Di samping sokongan padu rakyat dan masyarakat, komitmen pihak kerajaan dalam menjadikan tindakan pencegahan rasuah sebagai agenda utama negara juga perlu diberi perhatian.

"Kami di SPRM turut berharap supaya pemimpin negara dan kerajaan dapat turut bersama dan senada dengan kami bagi menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara,"katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SPRM turut menubuhkan Yayasan Prihatin SPRM yang semata-mata berteraskan kebajikan untuk membantu menampung kekurangan keperluan dan kewangan warga SPRM serta ahli keluarga mereka.

Katanya, dana yayasan ini juga akan turut disalurkan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dari sudut kewangan melalui program SPRM bersama masyarakat.

"Sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada yayasan ini bagi menyokong matlamat penubuhannya, dan segala bentuk sumbangan akan direkodkan bagi memastikan ketelusan pengurusannya,"katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 2:50pm
d