mutakhir

Pusat Bersalin Berisiko Rendah dibuka hari ini

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PUSAT Bersalin Berisiko Rendah (LRBC) di Alor Setar memulakan operasi hari ini bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pusat berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar itu diwujudkan dengan peruntukkan RM865,000 bagi memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada ibu yang bakal bersalin.

Katanya, pusat berkenaan akan dikendalikan oleh pegawai perubatan berpengalaman serta jururawat terlatih di samping mengikut garis panduan khusus supaya kes dijalankan mengikut piawai ditetapkan.

"LRBC turut dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan bagi mengendalikan kelahiran ibu dan bayi yang dilahirkan.

"Bagaimanapun, bakal ibu perlu melalui penilaian terperinci oleh pakar perubatan keluarga di klinik kesihatan terlebih dulu sebelum dibenarkan bersalin di LRBC.

"Selepas penilaian, hanya ibu yang diklasifikasikan sebagai berisiko rendah berhadapan dengan komplikasi semasa kelahiran dan selepas kelahiran saja dibenarkan bersalin di LRBC.

"Berdasarkan tatacara pengendalian ibu berisiko rendah adalah mereka yang diklasifikasikan dengan tag putih.

"Namun ibu dengan tag hijau dan memenuhi kriteria yang disyaratkan dalam garis panduan LRBC turut dibenarkan bersalin di pusat terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Norhizan berkata, golongan ibu yang ditetapkan untuk bersalin di LRBC akan melalui proses orientasi terlebih dulu untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya.

"Adalah menjadi harapan pihak jabatan agar ibu yang dikenal pasti untuk bersalin di LRBC mematuhi nasihat bagi membantu menangani masalah kesesakan di HSB," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kos pembinaan pusat itu, Dr Norhizan berkata, RM500,000 diperuntukkan untuk bangunan, RM65,000 (teknologi maklumat), RM200,000 (peralatan perubatan) dan baki RM100,000 untuk peralatan bukan perubatan.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 3:46pm
d