mutakhir

15 jahitan dilibas penyamun

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PENUNTUT Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa menerima 15 jahitan di bahagian perut selepas menjadi mangsa samun kelmarin.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Perdagangan, Thong Soon Hock, 22, berkata, dalam kejadian 9 malam kelmarin, dia bersendirian di laman siswa bersebelahan kampus universiti.

Katanya, ketika berada di laman berkenaan, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki yang tidak dikenali dan seorang daripada mereka menghampirinya lalu merampas iPad yang dipegangnya.

"Sebaik saja iPad dirampas, saya cuba mengambilnya semula, namun lelaki terbabit mengeluarkan pisau dan senjata itu terkena di perut selain saya mengalami luka kecil di siku dan kaki akibat terjatuh.

"Berikutan itu, rakan serumah membawa saya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya ketika ditemui di Pengkalan Chepa, hari ini.

Katanya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.

Soon Hock berharap dua individu berkenaan dapat ditangkap dan perkara sama tidak berulang lagi di masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan sengaja menyebabkan kecederaan.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 7:03pm
d