mutakhir

Pinjam motosikal rakan, katanya

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

SEBANYAK 293 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Motosikal, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar dan Jalan Raja Laut, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi tiga jam di Jalan Raja Laut dan Jalan Bangsar memeriksa 227 motosikal dan 66 kereta.

Katanya, 293 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi itu.

"Seorang lelaki warga India ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana menunggang motosikal curi.

“Dia mendakwa motosikal itu dipinjam dari seorang rakan dan memberikan pelbagai alasan untuk meloloskan diri. Namun, dia tetap ditahan untuk siasatan.

"Selain itu, pelbagai kesalahan direkodkan dengan tertinggi ialah penggunaan nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi iaitu sebanyak 53 kes, diikuti tamat cukai jalan tamat tempoh (41 kes), lesen tamat tempoh (36) dan tiada lesen memandu (35).

"Kita turut menyita 25 motosikal kerana didapati melakukan kesalahan," katanya.

Katanya, operasi di dua lokasi itu membabitkan tujuh pegawai dan 51 anggota.

Foto- Aby

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 7:06pm
d