mutakhir

Didik generasi muda bijak urus wang

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Seramai 1.5 juta atau 11.4 peratus daripada jumlah pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) terdiri daripada pelabur berusia enam bulan hingga 18 tahun, membabitkan pelaburan RM6.746 bilion.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah itu adalah daripada 13.1 juta pemegang unit menerusi pelaburan dalam 10 produk unit amanah ASNB iaitu sehingga tempoh 31 Ogos lalu.

“Generasi berusia antara enam bulan hingga 18 tahun antara sasaran PNB dalam program Didik Pelabur yang dianjurkan saban tahun.

“Sebagai institusi yang diberi mandat untuk mengurus dan mengukuhkan ekuiti Bumiputera di negara ini, kami mahu memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan generasi muda bijak mengurus wang,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Fiesta Labur PNB 2017, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata, penganjuran fiesta berkenaan pencapaian membanggakan dan menjadi penyuntik semangat kepada PNB dan ASNB untuk terus menganjurkan program seperti itu pada masa akan datang.

“Saya yakin gabungan pelbagai program Didik Pelabur dan Fiesta Labur kali ini menyebarkan maklumat pelaburan kepada orang ramai terutama kepada penduduk Putrajaya dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Pada majlis semalam, beliau turut menyampaikan hadiah RM3,000 kepada johan Pertandingan Seni Kreatif Peringkat Kebangsaan kepada pemenang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh, Melaka, RM2,000 iaitu naib johan kepada SK Jelawat 2, Kelantan, RM1,000 untuk tempat ketiga kepada SK Zainab 1, Kelantan manakala saguhati RM800 masing-masing kepada SK Bayan Lepas 2, Pulau Pinang dan SK Putrajaya Presint 14 (1).

Fiesta Labur PNB 2017 yang berakhir semalam menyediakan pelbagai program antaranya Santai Labur PNB menampilkan jemputan usahawan seperti Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida dan Datuk Seri Aliff Syukri.

Selain itu, penganjuran bengkel Kuasai Kewangan Peribadi Anda yang membincangkan empat topik berkaitan persaraan, pembiayaan ASB, emas, hartanah dan harta pusaka.

Pada fiesta itu juga, PNB mengumpulkan semua program Didik Labur di bawah satu bumbung dengan menganjurkan Kuiz Pelaburan PNB untuk empat kategori iaitu badan beruniform, sekolah menengah, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi serta jamboree untuk Kelab Pelaburan Bijak PNB.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 9:16am
d