mutakhir

Sekampit Beras Untuk Rohingya

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri Terengganu yakin jumlah kutipan bagi Tabung Terengganu Untuk Rohingya Anak Perantauan sempena kempen Sekampit Beras Untuk Rohingya mampu melepasi sasaran kutipan RM1 juta menjelang akhir Oktober ini berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima oleh seluruh anak negeri itu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sejak dilancarkan di peringkat negeri, kutipan kini mencecah RM600,000 dan kempen akan diperluaskan ke seluruh negara untuk mengajak semua anak Terengganu menyertai usaha membantu etnik Rohingya yang ditindas dengan kejam di Myanmar.

“Apabila kempen dilancarkan pada 19 September baru-baru ini di Kuala Terengganu, skopnya cuma di peringkat awal dan ia berjaya mengutip RM600,000 berbanding sasaran RM1 juta.

“Kita kemudian membawa program ini ke Lembah Klang dan akan dilancarkan ke seluruh negara bagi mengajak semua anak Terengganu di perantauan menyertai usaha ini. Program ini dilihat menerima sambutan luar biasa dan dengan kesungguhan yang ada, sudah pasti kita dapat mencapai lebih daripada sasaran menjelang akhir bulan ini.

“Ia tidak termasuk sumbangan daripada pihak korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta golongan usahawan,” katanya selepas melancarkan tabung itu yang diagihkan kepada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Anak Terengganu, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Datuk Rozi Mamat serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.

Sempena majlis itu, Ahmad Razif turut menyampaikan bantuan persediaan dan pembelian komputer kepada 130 mahasiswa anak Terengganu perantauan untuk melanjutkan pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Ahmad Razif berkata, pihaknya menunggu lampu hijau daripada Wisma Putra dan Mercy bagi membolehkan seramai 50 orang Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dapat dihantar ke kem pelarian.

terbesar di sempadan Bangladesh yang menempatkan lebih 400,000 orang pelarian.

Katanya, biarpun ia bukan satu perkara yang mudah kerana membabitkan isu keselamatan dan hubungan antarabangsa, namun ia adalah perancangan kerajaan negeri untuk menghantar bantuan ke sana.

“Kita sedang berbincang dengan Wisma Putra dan Mercy. Ini bukan perkara mudah kerana membabitkan keselamatan dan hubungan antarabangsa dan kita sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada mereka.

“Ini adalah perancangan kerajaan negeri namun bergantung kepada Wisma Putra kerana permohonan melalui kerajaan Bangladesh. Kita doakan supaya hasrat kami menghantar bantuan tercapai,” katanya.

tamat

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 10:10am
d