mutakhir

Tiga tahun tawar maksiat

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kajang: Keghairahan pengunjung di sebuah pusat hiburan di Dataran C180, Cheras, di sini, yang berhibur dalam keadaan khayal sambil melayan pelayan pelanggan (GRO) terbantut apabila premis berkenaan diserbu polis, awal pagi semalam.

Difahamkan, pusat hiburan berkenaan beroperasi sejak tiga tahun lalu tanpa lesen selain turut menawarkan khidmat GRO warga asing bagi menarik pelanggan.

Bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang diketuai Ketua Polis Daerah Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff menyerbu premis berkenaan jam 1.15 pagi semalam.

Malah, ketika Op Noda itu dijalankan, polis menemui satu laluan khas yang disediakan kepada pelanggan dan GRO untuk melarikan diri apabila serbuan dijalankan.

Ahmad Dzaffir berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan sembilan GRO warga Vietnam yang didapati melanggar peraturan Imigresen dan seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki tempatan disyaki penjaga premis.

“Ketika serbuan dijalankan ada lebih 100 pelanggan di premis berkenaan. Selepas pemeriksaan dijalankan kami mendapati sembilan daripada mereka adalah wanita warga Vietnam yang disyaki GRO.

“Lebih mengejutkan apabila pihak kami menemui sepaket serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 23.3 gram di bawah meja dalam sebuah bilik kosong,” katanya.

Beliau berkata, seramai 63 pelanggan warga tempatan diarahkan untuk menjalani saringan ujian air kencing dan didapati 18 daripada mereka positif dadah.

“Premis ini beroperasi sejak tiga tahun lalu tanpa lesen selain turut menawarkan khidmat GRO warga asing. Malah kami dapati pelanggan juga berhibur dalam keadaan khayal.

“Beberapa peralatan audio, resit dan wang tunai dirampas. Semua yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 11:17am
d