mutakhir

ICA mampu jana RM200 juta

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjangkakan komitmen perniagaan sebanyak RM200 juta diperoleh melalui penganjuran Persidangan Koperasi Sedunia (ICA) di ibu negara November ini.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, dianggarkan 1,600 perwakilan dari 105 negara akan menghadiri persidangan dwitahunan itu mulai 13 hingga 19 November.

Katanya, unjuran komitmen perniagaan itu adalah hasil pengkomersialan pelbagai produk daripada kira-kira 60 koperasi yang mengambil bahagian dari pelbagai negara besar dunia antaranya Amerika Syarikat, China, Korea, Jepun, Kanada dan Iran.

"ICA adalah sebuah badan bebas global yang menyatukan serta mewakili koperasi dari seluruh dunia dan Malaysia adalah negara Islam kedua menjadi tuan rumah selepas Turki sebelum ini.

"Penganjuran persidangan ICA 2017 ini juga akan menarik minat ramai pemimpin koperasi dari seluruh dunia untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat dan meninjau peluang pasaran untuk produk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Tenpin bersempena Persidangan Global Perikatan Koperasi Antarabangsa Kuala Lumpur (ICAKL) di Sunway Pyramid Bowl, Bandar Sunway, semalam.

Seramai 352 wakil koperasi seluruh negara menyertai pertandingan boling bertujuan mengeratkan hubungan selain perkongsian jaringan perniagaan melalui produk koperasi.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 11:39am
d