mutakhir

Tiga rumah hangus [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEPASANG suami isteri sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran yang membabitkan tiga rumah di Kampung Batu 2, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 11.45 malam, Phang Boon Siew, 42, dan isterinya Sar Jit, 51, berada di dalam bilik untuk tidur, namun dikejutkan oleh jeritan jiran yang meminta mereka keluar dari rumah disebabkan berlaku kebakaran bersebelahan rumah mereka.

Phang berkata, selepas mendengar jeritan itu, dia dan isteri segera menyelamatkan beberapa barangan penting termasuk dua motosikal milik mereka.

"Selepas mendengar jeritan orang ramai dari luar mengatakan rumah di sebelah kiri terbakar, kami segera keluar untuk menyelamatkan diri dan barangan penting.

"Bagaimanapun, kami hanya sempat menyelamatkan dua motosikal dan beberapa helai pakaian sahaja kerana kebakaran berlaku terlalu pantas sehingga turut menyambar separuh bahagian kiri rumah," katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd Ridzuan Nut Jamudi berkata, rumah mangsa satu daripada tiga rumah terbakar dalam kejadian itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada 11.49 malam.

Ridzuan berkata, seramai 14 pegawai dan anggota dari BBP Sungai Petani serta dibantu 40 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Bakar Arang, PBS Bedong, PBS Padang Lembu, PBS Sungai Petani dan PBS Semeling terbabit operasi pemadaman itu.

"Setibanya kami di lokasi kejadian pada 11.54 malam, kami mendapati kebakaran membabitkan tiga buah rumah kelas C berkeluasan 40x20 meter persegi.

"Dua daripada rumah berkenaan berpenghuni dan mengalami kemusnahan masing-masing 40 peratus dan 10 peratus manakala sebuah lagi tidak mempunyai penghuni yang musnah hampir keseluruhan," katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran serta jumlah kerugian.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 2:53pm
d