mutakhir

'Sabun MLM disita' [METROTV]

Oleh Mohd Hasbi Sidek

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas produk sabun dianggarkan bernilai RM84,000 dari sebuah premis di Petaling Jaya kerana disyaki menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen, Jumaat lalu.

Serbuan jam 10.30 pagi oleh lima pegawai KPDNKK itu merampas 2,100 paket sabun dari pejabat dua individu berusia 39 dan 41 tahun selepas mendapat maklumat mengenai operasi syarikat berkenaan.

Difahamkan, syarikat itu merekrut ahli dan pengedar produk yang diimport dari China berkenaan menggunakan laman Facebook dengan tawaran pakej serendah RM499.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Azman Adam berkata, ketika serbuan dijalankan, syarikat berkenaan gagal mengemukakan lesen jualan langsung.

“Tindakan dihasilkan berdasarkan aduan daripada orang ramai yang ragu-ragu berhubung aktiviti perniagaan jualan langsung disyaki tidak mempunyai lesen sah.

“Hasil pemeriksaan kami merampas 2,100 paket sabun yang dianggarkan bernilai RM84,000 selain turut menyita beberapa dokumen seperti borang keahlian dan sebuah komputer riba untuk tindakan lanjut,” katanya ketika sidang media di Pejabat KPDNKK Petaling Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung skim dan pakej yang ditawarkan syarikat berkenaan dan siasatan awal juga mendapati terdapat 800 individu yang sudah mendaftar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 iaitu tertakluk kepada Seksyen 14 dan 42.

“Jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM1 juta dan tidak melebihi RM2 juta jika kesalahan kedua dan berikutnya,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga akan merujuk kepada pihak berkaitan berhubung kelulusan produk berkenaan jika bahan yang digunakan berbahaya atau sebaliknya.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 4:33pm
d