mutakhir

Penjara 15 tahun, 10 sebatan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BAPA kepada empat anak yang melakukan rompakan menggunakan sepucuk pistol pada Disember tahun lalu dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Adam Chong, 46, dari Kampung Durian Burung mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan rompakan bersenjata dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Adam didakwa merompak wang tunai sebanyak RM6,000 dan dua utas rantai leher emas milik Noor Rohayu Walis Yusof, 44, di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di Chendering.

Tertuduh didakwa melakukan rompakan itu antara 9.30 hingga 9.45 pagi pada 31 Disember tahun lalu dengan menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson SPL MOD 36.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah memiliki sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson SPL MOD 36 dan empat butir peluru berkaliber 38 inci SPL tanpa lesen senjata atau permit senjata yang dibenarkan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pertama, Rofiah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan dikenakan 10 sebatan manakala mengarahkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan kedua.

Rofiah mengarahkan hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh dijalankan secara berasingan sekali gus menjadikannya selama 15 tahun.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan sudah insaf dan perlu menanggung ibu bapa serta keluarganya termasuk empat anak selain menghidap penyakit jantung.

"Saya tahu saya salah dan saya tidak akan ulangi lagi kesalahan ini," katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Laos yang dipercayai terbabit dalam dua kes rompakan bersenjata pada Disember tahun lalu ditahan polis.

Suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di Taman Kota di Batu Pahat, Johor kira-kira 11.30 pagi pada 16 Januari lalu hasil kerjasama polis Terengganu dan Johor.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 5:47pm
d