mutakhir

CGK serah surat mohon maaf [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

KELAB motosikal Choppers Garage Kelantan (CGK) menyerahkan surat permohonan maaf secara rasmi kepada Konsulat Thailand di Kota Bharu, Kelantan, hari ini berhubung kesalahan menahan kenderaan dan melanggar lampu isyarat merah sewaktu konvoi di negara berkenaan.

Presidennya, Diami Yusoff berkata, pihaknya menyerahkan surat rasmi terbabit kepada Pemangku Jeneral Konsulat Diraja Thailand, Jantarat Ngamchana, pada 11.30 pagi.

Katanya, surat adalah bertujuan memohon maaf kepada Gabenor Narathiwat dan rakyat Thailand berhubung kesalahan dilakukan peserta konvoi mereka yang dilaporkan oleh media rasmi negara berkenaan.

"Menerusi pertemuan itu, Jantarat memaklumkan pihaknya akan menyerahkan surat terbabit kepada Gabenor Narathiwat.

"Pihaknya menerima permohonan maaf terbabit dan menganggap perkara itu sudah selesai serta tidak perlu dipanjangkan lagi kes ini.

"Pihaknya turut mengalukan kunjungan pelancong dari Malaysia terutamanya CGK dan kelab motosikal lain untuk terus mengadakan konvoi ke Thailand," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Diami berkata, pihaknya berharap rakyat negara ini memaafkan mereka dan tidak terus memainkan isu terbabit di media sosial.

"Kami juga berharap kesilapan sama tidak berulang dan perkara ini akan dijadikan pengajaran kepada semua terutamanya peserta konvoi bermotosikal.

"Kita peserta konvoi motosikal dapat mematuhi peraturan dan undang-undang negara yang dikunjungi bagi menjaga imej negara ini," katanya.

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan CGK memohon maaf secara terbuka kepada pihak berkuasa dan rakyat Thailand berhubung kesalahan kenderaan dan melanggar lampu isyarat dilakukan oleh peserta mereka sewaktu mengadakan program konvoi di Narathiwat, Thailand pada 22 September lalu.

Kejadian turut menjadi tular apabila video berdurasi lebih dua minit yang memaparkan siaran berita televisyen rasmi negara itu melaporkan kejadian berkenaan tersebar di media sosial.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 7:48pm
d