mutakhir

Eksesais rapat hubungan Malaysia-Australia

Oleh HM Digital

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Diraja Australia (TLDA) yang menjalankan eksesais Malaysia-Australia Sea Training Exercise (MASTEX) diyakini akan memantapkan hubungan ketenteraan antara dua negara.

MASTEX 2017 latihan bilateral tahunan yang membabitkan aset Armada Barat bersama TLDA yang dilaksanakan secara field training exercise (FTX) dengan keutamaan peperangan maritim yang bermula semalam hingga 7 Oktober ini.

Seramai 430 anggota kedua-dua negara menyertai latihan dihoskan TLDM dan antara latihan diadakan adalah latihan menembak meriam utama pada sasaran permukaan dan udara, pertukaran anggota kapal dan latihan navigasi lain.

Ia dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL), fasa laut dan fasa penutup yang akan berakhir pada 7 Oktober ini.

Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis berkata, latihan dua hala yang dijalankan sejak 2002 itu membuktikan keyakinan dan kepercayaan tinggi antara kedua-dua negara.

Menurutnya, melalui eksesais dijalankan itu anggota TLDM berpeluang mempelajari dan meningkatkan kemahiran membabitkan teknologi canggih yang ada pada aset TLDA.

“Mastex juga adalah platform terbaik sebagai persediaan sebelum kita menyertai eksesais lebih besar iaitu eksesais KAKADU pada Oktober tahun hadapan,” katanya selepas Majlis Pembukaan Eksesais MASTEX 2017 di Pangkalan TLDM, semalam.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 6:09am
d