mutakhir

15 tahun jel

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Bapa kepada empat anak yang melakukan rompakan menggunakan sepucuk pistol pada Disember tahun lalu dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Adam Chong, 46, dari Kampung Durian Burung mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan rompakan bersenjata dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Adam didakwa merompak wang tunai RM6,000 dan dua utas rantai leher emas milik Noor Rohayu Walis Yusof, 44, di dalam kereta di hadapan sebuah premis di Chendering.

Tertuduh didakwa melakukan rompakan itu antara jam 9.30 pagi hingga jam 9.45 pagi pada 31 Disember tahun lalu menggunakan pistol jenis Revolver Smith & Wesson SPL MOD 36.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah memiliki sepucuk Revolver Smith & Wesson SPL MOD 36 dan empat peluru tanpa lesen senjata atau permit yang dibenarkan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pertama, Rofiah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan dikenakan 10 sebatan serta mengarahkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan kedua.

Hukuman penjara terhadap tertuduh itu dijalankan secara berasingan, sekali gus menjadikan tempohnya 15 tahun.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya dapat meringankan hukuman dengan alasan sudah insaf dan perlu menanggung ibu bapa serta keluarganya termasuk empat anak, selain dia menghidap penyakit jantung.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 6:34am
d