mutakhir

Tetamu tauke 'sabun ajaib'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Petaling Jaya: Sebuah syarikat menjual sabun ‘ajaib’ diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas didapati menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.

Serbuan jam 10.30 pagi kelmarin dilakukan lima pegawai KPDNKK di premis syarikat itu terletak di Damansara, di sini.

Dalam serbuan itu, pihak KPDNKK merampas 2,100 peket sabun dari pejabat dua individu berusia 39 dan 41 tahun selepas mendapat maklumat berkaitan operasi syarikat berkenaan.

Difahamkan, syarikat itu merekrut ahli melalui laman sosial Facebook dengan mengenakan syarat membayar RM499 untuk menyertai perniagaan itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, ketika serbuan dijalankan, syarikat yang baru beroperasi selama sebulan itu gagal mengemukakan lesen jualan langsung.

“Tindakan dilakukan berdasarkan aduan orang ramai yang ragu-ragu berhubung aktiviti perniagaan jualan langsung disyaki tidak mempunyai lesen sah.

“Hasil pemeriksaan, kami merampas 2,100 peket sabun yang dianggarkan bernilai RM84,000 selain turut menyita beberapa dokumen seperti borang keahlian dan sebuah komputer riba untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK Petaling Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 6:55am
d