mutakhir

Bekas jaga pecah sekolah

Oleh Shamsul Munir Safini

Kepala Batas: Bekas pengawal keselamatan sekolah antara empat lelaki diberkas polis pada 18 September lalu selepas memecah masuk makmal dan bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Murni di Sungai Dua, Butterworth.

Dalam tiga kejadian berasingan antara 31 Julai hingga 18 Ogos, semua suspek termasuk dua remaja dan seorang warga asing melarikan komputer riba dan beberapa peralatan komputer di makmal dan bilik guru sekolah bernilai RM70,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Superintendan Abd Aziz Daud berkata, semua suspek yang juga ‘Geng Laptop’ itu memecah masuk premis berkenaan hasil maklumat seorang daripada mereka yang juga bekas pengawal keselamatan sekolah itu berusia 23 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pihak sekolah memaklumkan beberapa komputer riba dan barangan komputer di sekolah berkenaan hilang dipercayai dicuri.

“Hasil maklumat dan risikan, kami menahan tiga lelaki berusia 16, 17 dan 23 tahun sebelum menyerbu sebuah rumah seorang lelaki warga Bangladesh, di sini.

“Hasil serbuan, kami menemui 26 komputer riba, lima unit monitor komputer dan beberapa barangan komputer yang lain dipercayai dicuri di sekolah berkenaan di rumah warga asing berusia 50 tahun terbabit,” katanya.

Abd Aziz berkata, hasil soal siasat, lelaki warga asing berkenaan mengaku membeli semua komputer riba itu daripada tiga suspek yang ditahan dan menjualnya.

Beliau berkata, tiga suspek itu mengaku memecah masuk bilik guru sekolah tiga kali pada waktu malam sebelum semua barangan itu dijual kepada warga asing terbabit.

“Semua suspek direman 14 hari hingga semalam (kelmarin) dan dituduh di mahkamah.

“Mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 6:59am
d