mutakhir

Bola jaring sudah sebati dalam diri

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PEMAIN skuad bola jaring negara, Izyan Syazana Mohd Wazir, menerima Anugerah Wanita Cemerlang 2017 peringkat negeri Kedah malam tadi atas sumbangan mengharumkan nama negara merangkul emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Baru saja mendirikan rumah tangga empat hari lalu, Izyan Syazana, 24, menganggap anugerah itu sebagai hadiah perkahwinannya selain rasa dihargai kerana diiktiraf kerajaan negeri.

Katanya, ia menjadi pembakar semangat untuknya terus bermain bola jaring biarpun usia semakin meningkat.

“Jika saya masih terpilih untuk bermain dengan skuad kebangsaan, saya tidak akan bersara selagi saya mampu kerana bola jaring sudah sebati dengan diri saya sejak berusia 11 tahun.

“Saya dipilih mewakili negara pada usia 15 tahun, selagi khidmat saya diperlukan, saya akan terus menabur bakti untuk Malaysia,” katanya yang berasal dari Kulim.

Ketika ditanya perancangan tahun depan, anak kelima daripada tujuh beradik ini berkata, beliau akan meneruskan pengajiannya dalam jurusan Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menangguhkan latihan praktikal semester akhir bagi memberi tumpuan menghadapi Sukan SEA.

“Selepas saya bergelar guru sekalipun, saya tetap akan aktif dalam sukan ini, segala pengalaman yang ada akan dicurahkan untuk pelajar saya kelak,” kata pemain penyerang ini.

Izyan Syazana antara 30 wanita cemerlang Kedah yang menerima anugerah berkenaan disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Majlis anugerah itu dianjurkan kerajaan negeri di Dewan Seri Negeri sempena kesinambungan Hari Wanita pada Mac lalu.

Untuk rekod, skuad kebangsaan menamatkan kemarau 16 tahun untuk meraih pingat emas buat kali kedua pada kejohanan berprestij Asia Tenggara itu apabila menewaskan musuh tradisi, Singapura 65-41 pada pentas final di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Pingat emas itu adalah kejayaan kedua diraih skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Tracey Robinson selepas Kejohanan Bola Jaring Asia di Bangkok, Thailand tahun lalu.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 10:27am
d