mutakhir

Takrifan penjawat awam mesti difahami

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TIDAK adil bagi pembangkang untuk membandingkan jumlah penjawat awam di negara ini dengan negara lain sebaliknya takrifan sebenar penjawat awam di Malaysia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pihak pembangkang harus faham bahawa takrifan penjawat awam di negara ini meliputi sektor perkhidmatan kesihatan, anggota keselamatan dan warga pendidikan sedangkan negara lain tidak menghitung jumlah pekerja dalam sektor berkenaan.

Beliau berkata, penjawat awam pastinya amat tersinggung dan marah apabila terdapat sesetengah pihak khususnya dari pembangkang yang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam negara ini sebagai 'bloated civil service' iaitu sudah terlebih bilangannya.

"Malah, mereka (pembangkang) juga mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kelima Belas (MAPPA XV), pagi ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Perdana Menteri berkata, bukan setakat itu, pihak pembangkang juga tergamak melabelkan penjawat awam dan memberi tanggapan negatif selain menyelar secara semberono dengan menyifatkan perkhidmatan awam sebagai tidak cekap dan makan gaji buta malah, ada yang keterlaluan sanggup menghina penjawat awam sebagai kucing kurap.

"Bayangkan apa akan terjadi kepada untung nasib sebahagian besar penjawat awam sekiranya pembangkang dibiarkan memerintah negara ini.

"Sanggupkah tuan-tuan dan puan-puan mempertaruhkan masa depan kepada pihak sedemikian," katanya.

Menurutnya, seandainya benar penjawat awam tidak cekap seperti yang dituduh, mana mungkin mereka mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Najib berkata, sebagai contoh, projek Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) adalah 'game changer' dalam perkhidmatan awam sehingga diakui Bank Dunia sebagai model terbaik perkhidmatan kerajaan dunia kerana mampu menjimatkan perbelanjaan sehingga RM2 bilion selain Projek Infra Rakyat MRT Laluan Sungai Buloh - Kajang yang berjaya menjimatkan RM2 bilion dari kos asal.

Sementara itu, Najib berkata, beliau mahu aspek penyampaian menjadi ‘darah daging’ dan sebati dengan perkhidmatan awam.

Menurutnya, pengukuhan dan pemerkasaan perkhidmatan awam juga harus bertumpu dengan menjadikan perkhidmatan awam yang lebih berfokus kepada rakyat, inklusif dengan penyertaan komuniti dan berbudaya.

"Saya juga menyeru agar penjawat awam tidak bekerja dan terus terkongkong dalam 'silo' masing-masing sehingga boleh mengundang karenah birokrasi yang menyukarkan rakyat sedangkan tanggungjawab perkhidmatan awam adalah sebagai pemudah cara kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Najib berkata, perkhidmatan awam di negara ini perlu berpegang kepada enam Falsafah dan Garis Besar Haluan Menuju Transformasi Nasional (TN50) selaras proses merencana masa depan negara bagi tempoh 30 tahun akan datang.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 12:46pm
d