mutakhir

Kasih ibu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“Saya sudah maafkan kesalahannya," kata ibu Adam Abdullah, 27, ketika memberi kenyataan impak mangsa terhadap anaknya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Rahimah Abdul Rahman, 52, berkata demikian di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad selepas anak lelakinya mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugutnya dengan gunting, Jun lalu

"Saya sudah maafkan dia, tuan dan berharap dia dikenakan hukuman ringan," katanya yang bersetuju supaya anaknya itu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Dalam kenyataan impak mangsa, Rahimah mengaku ketakutan dan trauma dengan anaknya yang sentiasa bertindak agresif dan panas baran sekali gus mengancam keselamatan keluarga.

Wanita itu mendakwa anaknya selalu meminta wang untuk membeli pil kuda dan sering menjual barang di dalam rumah.

Nik Habri kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula hari ini terhadap tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman terhadap kesalahan dadah.

Beliau turut menasihatkan tertuduh dan orang ramai supaya mengambil pengajaran terhadap kesalahan itu.

"Kes seumpama ini sangat serius. Kamu bernasib baik ibu kamu minta hukuman ringan iaitu penjara 12 bulan kerana mahu beri peluang untuk insaf.

"Tetapi sekiranya kesalahan ini berulang, saya tidak tanya ibu kamu, malah akan jatuhkan hukuman lebih berat," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut ibunya di rumah di Kampung Terap Banggu di sini pada 9.30 pagi, 19 Jun 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

"Saya mohon maaf kepada ibu dan berjanji tidak akan ulangi kesalahan sama," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hamidah Mahmood memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 3:15pm
d