mutakhir

Tiga lagi diburu

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS Iskandar Puteri sudah menahan empat lelaki dan sedang memburu tiga lagi individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di hentian bas, Jalan Persiaran Sungai Danga, Nusa Bestari, Johor Bahru, 21 September lalu.

Empat lelaki berusia 22 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Johor Bahru antara 29 September lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, suspek pertama berusia 24 tahun dan bekerja sebagai juruteknik kilang di Singapura itu ditahan pada 5.20 petang di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, 29 September lalu.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, mereka menahan suspek kedua berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penjaga kuda di Singapura di Taman Nusa Bestari, Johor Bahru, 6.42 petang, keesokan harinya.

"Kita berjaya menahan dua lagi suspek berusia 31 dan 41 tahun yang kedua-duanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Singapura dan masing-masing ditahan di Taman Nusa Sentral, semalam dan Taman Nusa Puncak, hari ini.

"Keempat-empat mereka didapati tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit mangsa dan sebuah Toyota Corolla yang dipercayai digunakan mereka untuk membawa mayat mangsa sebelum membuangnya di lokasi penemuan.

Menurut Noor Hashim, siasatan awal yang dijalankan mendapati motif pembunuhan itu berlaku akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mencuri duit dan barang kemas milik mereka yang tinggal serumah di rumah sewa dekat Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

"Mangsa sudah dikenal pasti sebagai S Navinand, 19, yang berasal dari Ipoh, Perak.

"Mangsa baru enam bulan tinggal menyewa di rumah berkenaan, belum bekerja dan dipercayai sedang mencari kerja.

"Dia juga didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau kes curi pada 2015," katanya.

Noor Hashim berkata, tiga individu yang masih diburu adalah dua lelaki yang juga rakan serumah mangsa dan seorang wanita dipercayai teman wanita seorang daripada suspek.

Katanya, semua yang ditahan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 3:39pm
d