mutakhir

Mangsa banjir terima bantuan [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Mangsa banjir di Bintong, Kangar menerima bantuan pasca banjir yang disampaikan oleh Briged Sukarelawan Media Prima -New Straits Times Press (NSTP) Berhad, hari ini.

Penyampaian bantuan berkenaan dibuat pada 10 pagi oleh wakil briged, Shukor Othman bersama empat sukarelawan lain di Dewan Warisan, Kangar.

Menurutnya, setiap mangsa menerima satu beg mengandungi bekalan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan barangan keperluan lain disampaikan kepada mangsa melalui dana awam Tabung Bencana NSTP - Media Prima.

"Melalui bantuan awam ini, diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir yang terjejas teruk dua minggu lalu," katanya ditemui selepas selesai mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Warisan.

Sementara itu, Shukor berkata, pihaknya turut menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Kubang Pasu, Kedah.

"Selepas ini kita akan bergerak ke Kubang Pasu bagi menyampaikan bantuan kepada lebih 533 mangsa banjir di sana.

"Kita berterima kasih kepada pihak Pasaraya Giant Perlis kerana sudi memberikan potongan harga yang berpatutan kepada pihak sukarelawan ketika membeli barangan, malah mereka turut menyediakan tenaga kerja bagi memudahkan urusan pembahagian bantuan," katanya.

Seorang penerima, Dahalan Talib, 56, yang tinggal berdua dengan ibunya, Zainab Ahmad, 82, di Kampung Wang Ulu, Bintong menzahirkan rasa syukur menerima bantuan barangan keperluan itu.

"Syukur kerana masih ada pihak yang mengingati kami yang terjejas akibat banjir di sini dan ini kali pertama saya dapat bantuan sebegini.

"Keadaan rumah agak teruk ditambah pula digenangi air banjir sehingga paras pinggang menyebabkan banyak barangan di dalam rumah rosak. Saya pula menghidap penyakit jantung dan membuat kerja kampung untuk cari pendapatan," jelasnya.

Mereka antara 264 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Bintong dan Sekolah Kebangsaan Panggau di sini, akibat banjir kilat melanda Perlis.

Turut hadir pada majlis penyampaian bantuan itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rela Ahmad dan Ahmad Bakri Ali yang mewakili Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 4:00pm
d