mutakhir

'Tak penat jaga ibu'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

WALAUPUN sudah menginjak usia emas, Rahawiyah Karim, 70, menganggap diri sangat bertuah kerana masih mempunyai ibu dan dapat terus berbakti menjaganya.

Menurutnya, sejak kecil sehingga kini dia tinggal bersama ibunya Baeyah Werala, 92, di Kampung Teluk Kemang, Port Dickson, dan mereka tidak pernah berpisah lama.

Rahawiyah berkata, dia pernah berkahwin dan dikurniakan empat cahaya mata tetapi suaminya sudah meninggal dunia serta semua anaknya kini bekerja dan tinggal bersama keluarga masing-masing.

"Alhamdulillah, walaupun usia saya tujuh dekad tetapi masih diberi kesihatan yang baik. Saya tidak berasa penat untuk menjaga dan menguruskan ibu yang semakin uzur.

“Ibu tidak ada penyakit cuma sakit belakang kerana faktor usia. Beliau hanya berbaring dan memerlukan perhatian saya sepenuhnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, perbelanjaan mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan dan wang pemberian anak.

"Ramai yang bertanya mengenai rahsia masih sihat dan kuat. Saya beritahu mereka mungkin Allah SWT beri kekuatan untuk saya menjaga ibu. Saya bersyukur kerana Allah memanjangkan usia ibu, jadi saya dapat menggalas tanggungjawab sebagai anak," katanya.

Rahawiyah ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.

Pada kunjungan itu, Tun Hairudin menyampaikan sumbangan katil boleh laras untuk kegunaan Baeyah.

Menurut Tun Hairudin, sumbangan itu diberikan menerusi program 'Jom Bantu Rakyat' yang dibuat untuk membantu golongan memerlukan termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 6:11pm
d