mutakhir

SKM pertimbang tawar biasiswa

Oleh Siti Fatimah Hassan

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) sedang mempertimbangkan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak bagi melanjutkan pelajaran ke Kolej iCOOP kelolaan Maktab Koperasi Malaysia (MKM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu bertujuan membantu pelajar terbabit meneruskan pengajian khususnya mereka yang mempunyai fokus dan minat mendalam dalam bidang koperasi.

Bagaimanapun katanya, kriteria bagi pemberian biasiswa berkenaan sedang diperincikan oleh SKM sebelum diumumkan nanti.

“Saya sudah berbincang dengan SKM untuk menawarkan bantuan biasiswa kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Kolej iCOOP.

“Namun, ia akan diberikan kepada pelajar yang memerlukan dan tidak berkemampuan menanggung yuran berjumlah RM20,000 untuk pengajian diploma selama dua tahun setengah.

“Kriteria biasiswa akan diperincikan oleh SKM termasuk diberi kepada pelajar yang fokus dalam pelajaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kampus baharu Kolej iCOOP di Damansara Damai, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej iCOOP dan MKM Prof Datuk Mohd Yusof Kasim.

Selain itu, Hamzah turut menggesa Bank Rakyat memainkan peranannya untuk tampil memberi tajaan kepada pelajar termasuk pelbagai agensi lain di bawah kementerian itu.

“Kita ingin melihat Bank Rakyat juga tampil membantu pelajar termasuk agensi lain di bawah kementerian,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 7:48pm
d