mutakhir

Pemintaan sumber air meningkat

Oleh Mary Victoria Dass

PERMINTAAN sumber air dijangka meningkat daripada 17.4 billion meter padu pada 2015 kepada 21.1 billion meter padu menjelang 2050.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan Sumber Air Negara, permintaan juga dijangka meningkat bagi sektor penternakan dan perikanan, domestik dan perindustrian serta pertanian.

Menurutnya, sebaliknya menerusi kecanggihan teknologi, permintaan sumber air bagi tujuan pertanian dijangka akan menurun sebanyak 16 peratus menjelang 2050 berbanding 2015.

"Jaminan sumber air adalah isu utama bagi kebanyakan negara yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk pembangunan yang tidak lestari dan kesan perubahan iklim.

"Akibat daripada kesan perubahan iklim, berlaku perubahan corak hujan terutama di bandar-bandar yang juga dikenali sebagai 'urban heat island effect'.

"Perubahan ini juga dapat dilihat di kawasan luar bandar kerana perubahan penggunaan tanah juga boleh mempengaruhi dinamik kitaran hidrologi.

"Pengurusan kawasan tadahan air yang lemah juga menyumbang kepada kekurangan air mentah untuk bekalan air terawat," katanya di majlis perasmian penutupan Water Leaders Forum di Hotel Mutiara, Johor Bahru, hari ini.

Hamim berkata, pencemaran sungai menyebabkan kualiti air mentah merosot kepada kelas tiga atau empat dan ia mengurangkan kuantiti air yang dapat digunakan untuk tujuan bekalan air terawat serta meningkatkan kos merawat air mentah.

"Bagi Malaysia, cabaran utama dalam pengurusan sumber air adalah dalam mengurus lebihan sumber air seperti banjir, kekurangan sumber air ketika musim kemarau dan kualiti air berikutan masalah pencemaran.

"Sebanyak 82.4 peratus sumber air diambil terus dari sungai, 16.1 peratus dari empangan dan 1.5 dari bawah tanah.

"Ia jelas bahawa sumber air negara kita banyak bergantung kepada air permukaan sangat sensitif kepada perubahan iklim dan cuaca," katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 10:53pm
d