mutakhir

Perluas produk modal Islam

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Keperluan mengembangkan produk modal Islam dilihat penting bagi memastikan kebergantungan lebih rendah terhadap sistem perbankan dan mewujudkan kestabilan kewangan lebih tinggi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, pada masa ini aset perbankan Islam menyumbang 80 peratus daripada sistem kewangan Islam global manakala produk modal Islam mencatatkan baki 20 peratus.

“Oleh sebab itu, kelas aset lain seperti sukuk, dana modal bersama dan teroka, ekuiti persendirian, insurans dan pembiayaan mikro serta pembiayaan orang ramai perlu dibangunkan pada kadar yang lebih cepat,” titah baginda ketika berucap merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2017 kali ke-14, di sini, semalam.

Aset perbankan Islam global kini mencatatkan pertumbuhan bernilai AS$1.5 trilion (RM6.3 trilion) dengan jumlah negara yang mewakili perbankan Islam meningkat kepada 18 manakala 12 daripadanya melihat sistem perbankan Islam sebagai sistem penting kepada negara masing-masing.

Baginda bertitah, asas utama bagi pasaran modal Islam adalah pasaran sukuk dan ekuiti di mana kedua-duanya mengalami pertumbuhan positif dengan jumlah sukuk global kini bernilai AS$320 bilion (RM1.4 trilion).

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 8:22am
d