mutakhir

Bela nasib guru lama

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kerajaan menambah baik skim perkhidmatan perguruan untuk memberi peluang kepada guru berusia 50 tahun ke atas menikmati peningkatan dalam kerjaya.

Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata, meskipun skim perkhidmatan perguruan hari ini beberapa kali ditambah baik, tetapi masih ada lompang yang perlu diberi tumpuan bagi memastikan guru yang lama berkhidmat mendapat peluang sebaiknya.

“Peluang peningkatan kerjaya untuk guru terutama yang berusia 50 tahun ke atas masih kecil dan ukuran tempoh masa perkhidmatan juga memerlukan jarak yang lama.

“Ini menyebabkan ramai guru dalam kumpulan umur terbabit tercicir daripada kenaikan pangkat dan menyebabkan mereka putus asa dan berasa sudah tidak lagi dihargai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Kamarozaman lagi, pihaknya turut berharap kerajaan menambah peruntukan penyelenggaraan bangunan sekolah di seluruh negara.

Kata beliau, peruntukan diberikan kerajaan tahun ini RM600 juta dan ia tidak mencukupi jika dibahagikan dengan keseluruhan 10,160 sekolah yang ada.

Katanya, terdapat banyak sekolah terutama di kawasan pedalaman yang memerlukan peruntukan penyelenggaraan segera dan kerajaan perlu mengambil serius mengenai keperluan berkenaan kerana ia membabitkan soal keselamatan pelajar serta warga sekolah.

“Kita tidak mahu bila ada kemalangan yang menimpa pelajar baru bangunan sekolah diselenggara.

“Bangunan sekolah yang uzur perlu dibaik pulih segera bagi memastikan pelajar dapat menikmati pembelajaran dengan lebih selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarozaman berkata, NUTP juga mahu kerajaan menambah peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan untuk Guru (CPD) yang disekat sejak dua tahun kebelakangan ini.

Katanya, ramai guru tidak dapat menikmati tuntutan elaun perjalanan ekoran masalah kekurangan dana.

“Guru menjalani latihan di luar kawasan ada kalanya menggunakan duit mereka sendiri dan keadaan itu tidak seharusnya berterusan,” katanya yang berharap peruntukan pendidikan untuk tahun depan ditambah berbanding apa disediakan kerajaan tahun ini.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 8:33am
d