mutakhir

Pertimbang RFID tingkat keselamatan perhimpunan

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhamamd dan Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Kaedah pengenalan identiti frekuensi radio (RFID) antara cadangan peningkatan yang dikemukakan kepada perwakilan untuk penambahbaikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang dijadual 5 hingga 9 Disember ini.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu antara sebahagian yang akan dibuat untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kelancaran sepanjang perhimpunan itu nanti.

Menurutnya, kaedah yang sama seperti penggunaan Smart Tag di plaza tol itu memudahkan urusetia mengenal pasti perwakilan sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam dewan perhimpunan.

“Melalui RFID, individu iaitu perwakilan akan melalui pengimbas sebelum indentitinya dikenal pasti berbeza dengan sebelum ini menggunakan sistem pengesan kod bar.

“Kaedah RFID dilengkapi transponder ini. Kita akan buat ujian dulu sekiranya melepasi tahap keselamatan oleh kami dan pihak polis barulah akan digunakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Media Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Jalil Abdul Hamid dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata penambahbaikan lain yang dilakukan adalah lokasi petugas media sepanjang Perhimpunan Agung yang dipindahkan ke Dewan Tun Razak 4 yang lebih luas dan selesa berbanding Bilik Mawar sebelum ini.

“Laman Media di dewan berkenaan akan menyediakan 54 ruang kerja yang bukan saja besar, malah selesa dan menepati keperluan rakan media terutamanya media penyiaran yang memerlukan set studio dan sebagainya.

“Bagi rakan media cetak, pihak urusetia juga akan memastikan segala keperluan kerja seperti bantuan teknikal dan capaian Internet di Laman Media ini berada dalam keadaan terbaik sepanjang perhimpunan ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 8:43am
d