mutakhir

Periksa dulu sebelum derma

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan segelintir individu yang mengambil kesempatan terhadap isu yang menimpa masyarakat Rohingya untuk meraih simpati masyarakat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya memang sedia maklum dengan kegiatan individu tertentu yang menjadikan isu etnik Rohingya bagi mendapatkan bantuan, selain mengemis di sekitar bandar raya ini.

“Walaupun sikap memberi satu amalan mulia dan dituntut agama, kami tidak menggalakkan orang ramai membudayakan sikap menderma tanpa usul periksa kerana dibimbangi mendorong pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.

“Melalui penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kita berjaya mengurangkan jumlah pengemis di negeri ini, namun sekiranya masyarakat membudayakan amalan bersedekah tanpa usul periksa, ia akan menggalakkan semula budaya meminta sedekah itu,” katanya.

Shaikh Harun berkata demikian ketika diminta mengulas aduan orang awam mengenai tindakan individu yang mendakwa dirinya etnik Rohingya meminta sedekah di kedai makan di bandar raya ini.

Lelaki berusia lingkungan 50-an yang berjubah dan berjanggut itu mendakwa dia kelaparan serta meminta derma daripada pelanggan kedai makan.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak mahu menerima pelawaan orang ramai untuk makan di kedai berkenaan sebaliknya beredar dari premis terbabit selepas menerima sejumlah wang daripada pelanggan yang bermurah hati.

Shaikh Harun berkata, sehingga kini pihaknya dan JHEAT tidak mengeluarkan sebarang surat keizinan meminta derma kepada mana-mana individu terutama warga asing.

“Laporan perbelanjaan mereka perlu diserahkan kepada MAIDAM bagi memastikan tiada penyelewengan di atas bantuan yang diserahkan kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 9:10am
d