mutakhir

Nostalgia jajan dulu-dulu [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Cheras: “Boleh makan lagi kah? Bila tarikh luput? Mana dapat stok?”

“Itu antara soalan yang sering ditanya pelanggan membuatkan saya tersenyum,” kata Kelvin Choo, 24, pemilik kedai Childhood Memory Lane, MyTown, Jalan Cochrane, di sini.

Timbulnya soalan berkenaan kerana kedai itu pasti mengimbas kenangan berikutan menjual pelbagai snek atau ‘jajan’ dan mainan dari era 1970-an hingga kini.

Menurutnya, selain bertanya, ada juga pelanggan yang menjerit gembira sebaik melihat apa yang pernah dimakan dijadikan mainan ketika zaman kanak-kanak.

Katanya, dia mula membuka kedai pertamanya di IOI City Mall, Putrajaya pada 2015 bersama rakannya, Lim Team Team, 25.

Menurut Kelvin, ketika itu dia menjual makanan ringan seperti biskut dan asam.

“Bagaimanapun, ada pelanggan memberi cadangan supaya menjual snek dan mainan kegemaran mereka ketika zaman kanak-kanak yang sukar didapati kini.

“Saya fikir cadangan itu bagus juga dan saya mula mencarinya,” katanya yang juga graduan Sarjana Muda Kewangan.

Menurutnya, dia pergi ke serata negeri seperti Perak, Johor dan Kelantan bagi mendapatkan stok snek dan mainan permintaan pelanggan itu.

“Walau di mana pun lokasinya saya pasti akan pergi demi memuaskan hati pelanggan. Mengikut pemerhatian saya, 90 peratus makanan kenangan zaman kanak-kanak ini masih di pasaran.

“Namun, 10 peratus akan menghentikan penjualan kerana pembuat asalnya sudah meninggal dunia menyebabkan perniagaan itu semakin merudum,” katanya.

Menurut Kelvin, antara produk yang sukar didapati adalah ‘tikam-tikam’ dan gula kapas.

“Jika dulu, gula kapas dijual bersama kon aiskrim namun kini tiada lagi. Saya amat harap tauke gula kapas itu teruskan perniagaannya jika tidak ramai pelanggan yang akan kecewa,” kata anak pertama daripada dua beradik ini.

Kelvin berkata, sepanjang dua tahun berniaga, pelbagai cerita yang dikongsikan melalui snek kegemaran zaman kanak-kanak itu.

“Ada berkongsi cerita hidup susah ketika terpaksa makan biskut askar yang dihantar oleh penjajah ketika zaman perang. Setiap snek dan mainan di sini pasti mempunyai nostalgia tersendiri,” katanya.

Menurutnya, harga snek dan mainan yang dijual bermula dari serendah RM2 hingga RM12.90.

“Perniagaan ini bukan saja memberi kepuasan kepada saya, malah memberi kegembiraan kepada pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 9:43am
d