mutakhir

Ubat nyamuk punya pasal

Oleh Norrasyidah Arshad

DUA belas penghuni Pusat Tahfiz Al-Quran Bidayatul Hidayah, Seksyen 32, Shah Alam, menempuh detik cemas apabila satu almari pakaian di asrama pusat itu terbakar dipercayai akibat ubat nyamuk, awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam Mohd Zamri Rohani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan 12.37 tengah malam.

"Ketika kejadian 12.20 tengah malam itu, bilik berkenaan dihuni 11 pelajar lelaki berusia bawah 12 tahun serta seorang warden berusia 30-an.

"Tindakan pantas mereka memadamkan kebakaran bagaimanapun berjaya mengelak api daripada merebak ke kawasan lain," katanya.

Menurutnya, penghuni pusat tahfiz itu memadamkan api menggunakan alat pemadam api selepas tersedar asap mula memenuhi ruang bilik tidur terbabit.

Kata Mohd Zamri, tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan.

"Buat sementara waktu, bilik itu ditutup bagi pembersihan dan mereka ditempatkan sementara di surau berdekatan," katanya,

Seramai 22 anggota bomba dari Balai Bomba Shah Alam dan Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 12:34pm
d