mutakhir

Kerjasama sekolah bantu tangani kes juvana

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEBANYAK 1,085 kes jenayah kekerasan juvana direkodkan polis sepanjang 2015 hingga 2016 membabitkan kes remaja masih bersekolah serta tidak lagi bersekolah.

Dalam tempoh sama, polis turut menerima 1,254 kes penyalahgunaan dadah dengan 47 peratus membabitkan pengambilan syabu selain 48 kes membabitkan kegiatan kongsi gelap dalam kalangan remaja.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, bagaimanapun sepanjang tempoh itu, kes berkaitan juvana sebenarnya mengalami trend penurunan hasil kerjasama sekolah yang bertindak menyalurkan maklumat awal seterusnya membolehkan polis mengambil langkah pencegahan termasuk menangkap mereka yang terbabit.

“Biarpun angka ini masih besar, namun kita berpuashati kerana jenayah dalam kalangan remaja bawah umur termasuk yang masih bersekolah ini sudah mengalami penurunan.

"Kita berterima kasih kepada pihak sekolah kerana jumlah ini dapat dikurangkan hasil kerjasama mereka yang bertindak menyalurkan maklumat dengan cepat kepada pegawai seranta yang sudah kita letakkan di setiap sekolah," katanya dalam sidang media ketika menghadiri program Community Policing di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang, hari ini.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 1:44pm
d