mutakhir

"Walaupun OKU, kami tidak tagih simpati..."

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

WALAUPUN dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak, namun suami isteri ini tidak pernah menjadikan kekurangan itu untuk memohon simpati orang ramai.

Sebaliknya, Wan Daud Wan Hassan, 56, dan isteri, Rohaya Mat Daud, 58, gigih berdikari mengambil upah menjahit pakaian.

Wan Daud berkata, sejak berusia 13 tahun, dia mula menjahit selepas belajar di sebuah rumah kebajikan di Pengkalan Chepa.

“Ketika itu, saya menjahit kemeja lelaki yang dijual pada harga RM3 sehelai dan sebaik tamat belajar, saya mengambil upah untuk menyara kehidupan.

“Selepas berkahwin, saya dan isteri terus mengambil upah dengan menjahit baju Melayu, kemeja dan seluar lelaki bagi membesarkan tiga anak kami,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, hari ini.

Temubual bersama pasangan itu dilakukan dalam bahasa isyarat dengan dibantu kakak Wan Daud, Wan Bilah, 61.

Wan Daud berkata, selain pendapatan hasil menjahit kira-kira RM500 sebulan, mereka turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

Katanya, mereka mengambil masa sehari untuk menjahit kemeja dan baju Melayu dengan upah RM45 sehelai dan RM90 sepasang.

“Tiga anak kami berusia 21 tahun hingga 33 tahun sudah berkahwin. Dua daripadanya tinggal di Kuala Lumpur dan seorang di Tumpat.

“Anak sulung yang juga lelaki bekerja sebagai anggota tentera, kedua ialah perempuan dan dia adalah pegawai kerajaan manakala anak ketiga yang juga lelaki berniaga.

“Ketiga-tiga anak sentiasa menghulurkan bantuan selain kerap pulang untuk menjenguk kami,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu dikunjungi Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani yang menyampaikan barangan keperluan harian sumbangan individu prihatin.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 3:26pm
d