mutakhir

Dedah institusi kewangan langgar undang-undang

Oleh Nabil Basaruddin

BANK Negara Malaysia (BNM) akan menyiarkan maklumat syarikat dan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap institusi kewangan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

Ia berkuat kuasa mulai Januari 2018.

Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, tindakan tegas itu turut membabitkan maklumat yang mempunyai nama institusi kewangan, jenis kesalahan serta jumlah denda dan kompaun yang dikenakan di laman web bank pusat.

Beliau berkata, usaha itu adalah bertepatan pada masanya dalam meningkatkan lagi kesan tindakan penguatkuasaan yang dilihat sebagai langkah pencegahan yang terbaik.

“Antara 2015 dan Jun 2017, denda dan penalti sejumlah RM115.8 juta dikenakan ke atas institusi yang melanggar peraturan BNM dan menjejaskan integriti sistem kewangan.

“Jadi pada Januari depan BNM akan mula menyiarkan tindakan penguatkuasaan berserta nama institusi kewangan yang terbabit serta perkara berkaitan yang boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2017 hari ini.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 5:16pm
d