mutakhir

Patutlah panik...

Oleh Nabihah Kamal

PANIK ketika didekati polis membongkar kegiatan dua lelaki yang rupa-rupanya terbabit dalam jenayah samun kedai serbaneka 24 jam, semalam.

Dalam kejadian 10 malam itu, dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha LC panik ketika didekati polis sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, dua lelaki yang masing-masing berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan anggota polis daripada pasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang mengejar mereka.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, dua lelaki itu berjaya ditahan di Jalan Maharajalela sebelum polis membuat pemeriksaan ke atas mereka.

"Semalam JSPT mengadakan Op Kesan Nombor Pendaftaran Palsu dan Kenderaan Klon.

"Bagaimanapun, dua lelaki warga tempatan itu memecut motosikal melarikan diri ketika didekati sebelum berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan berjaya menemui 31 kotak rokok pelbagai jenama, 36 pemetik api, enam botol deodoran dan parang," katanya.

Susulan itu, dua lelaki itu dibawa ke Balai Polis Tun H.S Lee untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 8:15pm
d